EKONOMI

Harga minyak AS terus meningkat kepada AS$64.01 satu tong

TOKYO 27 FEB: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat untuk kali keempat berturut-turut pada Selasa, menghampiri paras tinggi tiga minggu, disokong oleh usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC untuk mengurangkan bekalan minyak selain penyusutan pengeluaran minyak AS.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan penghantaran April bagi minyak AS West Texas Intermediate (WTI) meningkat 10 cents kepada AS$64.01 satu tong pada 0020 GMT. Kontrak minyak WTI mencecah AS$64.24 semalam, paras tertingginya sejak 6 Februari.

Minyak mentah Brent London masih belum diniagakan hari ini selepas meningkat 19 cents kepada AS$67.50 semasa ditutup semalam.

Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih, berkata pada Sabtu lalu bahawa pengeluaran minyak mentah negara itu akan lebih rendah daripada paras pengeluaran, susulan OPEC dan negara bersekutunya komited untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengimbangkan dan menstabilkan pasaran.

Harga minyak turut mendapat dorongan daripada data Pentadbiran Maklumat Tenaga As pada Khamis yang menunjukkan pengeluaran minyak domestik susut kepada 10.27 juta tong sehari (bpd) berbanding 10.271 juta bpd pada minggu sebelumnya.

Inventori minyak mentah AS dijangka meningkat kira-kira 2.7 juta tong minggu lalu, demikian menurut tinjauan awal Reuters pada Isnin.

Saham petrol dilihat menurun sebanyak 600,000 tong, manakala inventori sulingan termasuk minyak pemanas dan diesel dilihat menurun 700,000 tong.

American Petroleum Institute dijangka akan mengeluarkan data mingguannya hari ini.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :