BERITA UTAMASELANGOR

Loji Rawatan Air Semenyih, tampung 100 juta liter air bersih

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 27 FEB: Pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 mampu menampung penghasilan bekalan 100 juta liter air bersih sehari kepada masyarakat di kawasan Semenyih, Beranang dan sebahagian kawasan Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan RM177.7 juta disalurkan Kerajaan Negeri sebagai inisiatif memberikan perkhidmatan fasiliti air terbaik negeri.

“Demi melaksanakan janji untuk menawarkan perkhidmatan kemudahan air terbaik kepada rakyat, pembangunan loji ini berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut perancangan dan jadual.

“Loji rawatan air ini merangkumi lapan skop kerja termasuk pembinaan baru loji dengan kapasiti mampu menampung 100 juta liter air bersih.

“Ia signifikan untuk pastikan bekalan air terawat khususnya di kawasan Selatan Selangor dapat disalurkan berdasarkan faktor keperluan dan kepesatan pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di bangunan pentadbiran loji berkenaan, pagi ini.

Untuk rekod, pembinaan loji berkenaan mengaplikasikan penggunaan teknologi hijau dengan kemudahan kaedah Off River Storage (ORS) menghubungkan aliran air loji dari Sungai Langat ke Kolam Pra-Rawatan.

Dato’ Menteri Besar berkata, kaedah berkenaan tidak memerlukan operasi loji rawatan ditutup sekiranya berlaku pencemaran di Sungai utama.

Katanya, ia sekali gus membolehkan masyarakat mendapat akses air bersih bagi tempoh 60 hari, walaupun ketika pencemaran sungai berlaku.

“Selangor mendahului pelaksanaan kaedah ini dan ia menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk melestarikan perkhidmatan air kepada rakyat.

“Kaedah ini juga meletakkan Selangor sebagai satu-satunya negeri yang memperkenalkan sistem ini dan tentunya pengenalan projek ini ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor,” katanya.

Sementara itu Mohamed Azmin berkata, projek berkenaan juga telah mendapat kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan memenuhi piawaian ditetapkan Kementerian di Putrajaya.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut meluangkan masa meninjau operasi loji rawatan air berkenaan, diiringi pimpinan utama Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Zaidy Abdul Talib serta Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh.

=EZY=

 


Pengarang :