PBTSELANGOR

MBPJ: RM4.56 juta diperuntuk bina dewan komuniti

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 27 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan sejumlah RM4.56 juta bagi membina dewan komuniti dua tingkat di Bandar Utama 11, di sini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pembinaan dewan berkeluasan 1,565.97 kaki persegi itu dijangka siap pada Februari tahun depan.

Katanya, inisiatif itu merupakan usaha merealisasikan persekitaran hidup yang berkualiti di sekitar Petaling Jaya.

“Cadangan pembinaan ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial MBPJ bagi memenuhi keperluan dan permintaan daripada komuniti setempat di kawasan BU 11 yang merangkumi ribuan penduduk di kawasan sekitar seperti Kampung Ara, Kampung Cempaka dan kawasan sekitar.

“Dengan pembinaan ini, diharapkan dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan, keraian, sukan dan aktiviti warga emas,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Dewan Komuniti itu, di sini.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata MBPJ menerapkan seni bina ke arah persekitaran global dengan memfokuskan empat elemen antaranya membran, interaktif ‘public realm’, visibiliti dan komponen simbiotik.

Katanya, pembinaan dewan itu bakal menjadi projek yang mampu melestarikan alam sekitar, kecekapan penjimatan tenaga dan memenuhi gaya hidup urban yang sihat.

“Untuk memenuhi matlamat ke arah pembangunan hijau, penggunaan sistem penggunaan air hujan (SPAH) itu akan membantu meminimumkan penggunaan air dengan memperbaharui penggunaan air hujan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :