SELANGOR

Penduduk Kampung Sungai Buah gembira selepas 45 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 27 FEB: Penyerahan 55 hak milik muktamad oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali nyata menggembirakan penduduk Kampung Sungai Buah yang menanti hampir 45 tahun.

Bagi Ketua Kampung Sungai Buah, Ahmad Sanusi Salleh, beliau melahirkan rasa syukur atas komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Negeri meluluskan permohonan mereka.

“Alhamdulillah kita telah menanti hampir 45 tahun dan akhirnya semuanya selesai hari ini.

“Kita berusaha sejak tahun 1970an lagi untuk mendapatkan hak milik muktamad ini,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan nama Kampung Sungai Buah diperolehi hasil fenomena pokok ketapang ketika itu dibuka pada 1925 dan kini hampir tiga generasi menetap di sini.

Dalam Majlis Penyerahan Hakmilik Muktamad dan Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) Bagi Mukim Dengkil, Daerah Sepang bertempat di Padang Awam Kampung Sungai Buah, Mohamed Azmin turut menyerahkan Kad KISS kepada 10 penerima yang terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Buah.

Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin, turut menyerahkankan sumbangan yang disempurnakan Mohamed Azmin berjumlah RM130,000 yang diagihkan RM50,000 kepada Masjid Raudhatul Jannah.

Manakala Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Sungai Buah, Surau Al-Hidayah, Surau Ikhwal Muslimin dan Surau Al-Ikhlas masing-masing menerima RM20,000.

=EZY=


Pengarang :