SELANGOR

Muafakat julang pentadbiran Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 FEB: Sikap muafakat diamalkan pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mengangkat Selangor ke tahap lebih baik.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, perkara itu dapat dilihat apabila rizab negeri berjaya ditingkatkan daripada RM400 juta, sebelum 2008 kepada hampir RM4 bilion, setakat ini.

“Rakyat bersetuju dengan kecemerlangan pentadbiran Dato’ Menteri Besar. Mereka yang mengkritik atau keluarkan fakta tidak benar mungkin musuh politik yang mencemburui kejayaan Selangor.

“Di bawah pentadbiran hari ini, pertumbuhan ekonomi dilakukan dengan baik dan telus, tiada usaha mendominasi serta dilakukan secara sepakat juga muafakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif FB Live bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan mengatakan KEADILAN cuba menguasai pentadbiran Selangor, Shuhaimi menyifatkan perkara terbabit tidak benar dan sengaja dicipta bagi menghangatkan suasana.

Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor berkata, parti itu sentiasa mengamalkan perjuangan sihat dengan menekankan amalan sepakat serta berbincang sebaik mungkin berhubung sebarang perkara.

“Sejak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali diberi amanah mengepalai Pakatan Harapan Selangor, saya turut terbabit secara langsung mengaturkan pertemuan dengan semua parti komponen bagi mengadakan perbincangan.

“Justeru, jika ada yang mengatakan KEADILAN mahu berkuasa, itu semua tidak benar kerana semangat perjuangan kita berpakat dan berbincang sebaik mungkin serta membuat keputusan bersama,” katanya.

 

 

 

 

 


Pengarang :