SELANGOR

Ops Sita: MBSA gesa jelaskan cukai taksiran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan, kini giat melaksanakan operasi sitaan terhadap pemilik harta gagal melunaskan tunggakkan cukai taksiran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA melaksanakan pemeriksaan terhadap 41 premis melibatkan kilang, dan bengkel yang mempunyai jumlah tunggakan sebanyak RM93,938.25 dalam operasi terbaru, semalam.

“Pada Rabu, MBSA melaksanakan operasi di beberapa premis sekitar Seksyen 7, Seksyen 33 dan Seksyen U20, Shah Alam.

“Ia dilakukan selaras dengan peruntukkan di bawah Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, orang ramai perlu memahami akan tanggjungjawab menjelaskan bayaran cukai terbabit.

Katanya, kutipan cukai taksiran itu akan digunakan untuk mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran seperti perkhidmatan kutipan sisa pepejal, perkhidmatan pembersihan awam, penyediaan landskap, penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam dan infrastruktur.

“Bagi memudahkan pemilik-pemilik harta menjelaskan bayaran cukai taksiran, MBSA ada menyediakan pelbagai kemudahan bayaran seperti di kaunter bank dan secara atas talian.

“MBSA turut membuka kaunter bayaran di Pejabat Cawangan MBSA serta Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ secara berjadual mengikut kawasan yang ditetapkan pada setiap hari Sabtu,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan Cukai Taksiran, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-5522 2882.

 


Pengarang :