GLOBAL

Pesawat Saratov Airlines bawa lebih 70 penumpang terhempas

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 11 FEB: Kapal terbang Saratov Airlines yang dilaporkan membawa lebih 70 penumpang termasuk krew terhempas di luar ibu kota Moscow Rusia.

Agensi Berita Antarabangsa INTERFAX melaporkan kapal terbang itu hilang daripada radar dan menjunam di sebuah perkampungan di Argunovo.

Dilaporkan saksi melihat kapal terbang itu terbakar sementara pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung nasib kesemua penumpang dan krew pesawat.

Insiden itu berlaku pada tengah hari Ahad waktu tempatan apabila kapal terbang jenis Antonov An-148 berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di Moscow dalam perjalanan ke Orsk iaitu sebuah wilayah berhampiran sempadan Kazakhstan.

Dilaporkan jumlah penumpang pesawat malang itu adalah 65 dengan enam adalah krew penerbangan.

Penjejak pesawat menunjukkan Saratov Airlines Flight 6W703 berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo pada 2.20 p.m waktu tempatan dan mencecah altitud ketinggian 6,400 kaki atau 1,950 meter kira-kira lima minit kemudian sebelum menunjukkan menjunam.

 

Imej pertama pesawat berkenaan seperti dilaporkan agensi berita Rusia.

SUMBER: BNO NEWS/ INTERFAX

GAMBAR: SCREENSHOOT FLIGHT RADAR24

=EZY=


Pengarang :