SELANGOR

Polis lancar Ops Selamat 12 jaga kawasan kejiranan Shah Alam

OLEH SYAZWAN SUFIAN

SHAH ALAM, 11 FEB: Polis Shah Alam akan memberi tumpuan kepada kawasan hotspot kes pecah rumah, kecurian dan kemalangan dalam OPS Selamat 12 sepanjang tempoh Tahun Baru Cina ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi itu akan dijalankan selama dua minggu bermula 9 hingga 23 Februari ini.

Baharudin berkata, pihaknya akan menumpukan rondaan ke kawasan sasaran yang kerap berlaku kes pecah rumah dan kecurian kereta antaranya di Sri Muda, Seksyen 25 dan Seksyen 7.

“Bagi kes melibatan kemalangan jalan raya, kita akan beri tumpuan sekitar kawasan Persiaran Kuala Selangor, Persiaran Jubli Perak, Jalan Subang dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE).

“Sebanyak 100 anggota polis dikerahkan dalam Ops Selamat 12 dengan tujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan kes pecah rumah disamping dapat meminumumkan statistik kemalangan dan jenayah,” katanya dipetik Sinar Harian.

Baharudin berkata berdasarkan statistik tahun lalu, kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 146 kes daripada 512 kemalangan dalam Ops Selamat 8 pada 2016.

Bagaimanapun, bilangan kematian kekal dengan empat kematian.

Baharudin menasihati penduduk Shah Alam yang ingin pulang ke kampung halaman untuk mendaftarkan diri mereka dengan polis agar anggotanya dapat mengawasi kawasan kejiranan mereka.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui borang yang boleh didapati di balai polis terdekat atau boleh dimuat turun dari laman web rasmi polis.

=EZY=


Pengarang :