NASIONAL

Tepis sentimen perkauman, bersatu cetus perubahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 FEB : Masyarakat negara ini perlu mengenepikan sentimen perkauman dan kekal bersatu bagi mencapai matlamat mencipta perubahan Malaysia yang lebih baik, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution.

Beliau berkata, rakyat disaran tidak terpengaruh dengan agenda perkauman dicetuskan pihak tertentu bertujuan menimbulkan persepsi dan kebimbangan umum, sekiranya tampuk pemerintahan negara melalui fasa reformasi.

“Saban tahun lebih-lebih lagi apabila menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU), kita akan menyaksikan usaha Umno BN untuk melemahkan perpaduan rakyat Malaysia dengan menggunakan platform media arus perdana dikuasai mereka.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan terutamanya apabila isu-isu berkaitan dengan kaum dan agama cuba dipermainkan.

“Suka saya menegaskan bahawa tiada sebarang ruang untuk prejudis perkauman dan perbalahan agama berlaku di negara ini dan saya sentiasa berdoa agar keharmonian akan kekal utuh,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina, pagi ini.

Pada masa sama katanya, Pakatan Harapan sentiasa menzahirkan perpaduan melalui perkongsian kuasa antara parti-parti komponen -KEADILAN, AMANAH, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, penyatuan itu sebagai usaha untuk mentadbir negara ini menjadi lebih baik berbanding pemerintahan BN demi keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyatnya.

“Usaha ini tidak sekali-kali akan menggugat kedaulatan Sultan Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera lain,” katanya.

=EZY=


Pengarang :