SUKANKINI

Zulfahmi bersaing dalam MotoGP 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 5 FEB: Bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin kembali ke Kejohanan Dunia MotoGP dalam saingan Moto2 bersama SIC Racing Team, musim ini.

Zulfahmi, sebelum ini berlumba dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), akan menggunakan jentera Kalex bakal menyertai pasukannya bagi sesi ujian rasmi dengan menunggang motosikal 600cc Moto2 selama tiga hari di Litar Ricardo Tormo, Valencia, SEpanyol, 6 Februari ini.

Zulfahmi berkata, beliau bersedia menghadapi cabaran baharu itu dan akan menggunakan sepenuhnya pengalaman diperoleh dalam WSBK.

“Saya berterima kasih kepada SIC terutamanya Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Razlan Razali atas sokongan berterusan dan keyakinannya kepada saya.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke paddock MotoGP,” katanya.

Razali berkata, SIC gembira menyaksikan Zulfahmi kembali berlumba bersama pasukannya dalam MotoGP musim ini.

“Kita berharap Zulfahmi akan menghidupkan semula sejarah sekali lagi untuk Malaysia kerana dirasakan beliau calon utama untuk ditempatkan di Moto2 ekoran terdedah kepada Kejuaraan Superbike Dunia selama dua musim.

“Pengalaman berharga itu memberikannya asas untuk berlumba dalam Moto2 dan kita percaya Zulfahmi akan dapat mencapai sasarannya dan membawa kebanggan bersama pelumba Moto3, Adam Norrodin,” katanya.

Pengurus SIC Racing Team, Johan Stigefelt berkata, pihaknya bekerja keras dalam tempoh enam bulan bagi persediaan pasukan menghadapi MotoGP 2018.

“Kita akan memberi sokongan kepada Zulfahmi sebagai persiapannya bagi menghadapi saingan baru dalam Moto2 ini,” katanya.

Zulfahmi menyertai SIC Racing Team menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah yang dikaitkan dengan pasukan lain dalam MotoGP.


Pengarang :