NASIONAL

BN dapat pengajaran jangan ponteng apabila usul nyaris gagal

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Usul Barisan Nasional (BN) membabitkan usul pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang nyaris gagal tetapi diselamatkan keputusan Speaker Dewan Rakyat melengah-lengahkan menjalankan undi belah bahagi selama satu jam 30 minit.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata, hal ini berikutan permintaan pembangkang mengadakan undi belah bahagian sebelum Dewan Rakyat berhenti berehat tengah hari tadi ditolak Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Apa yang berlaku tadi sebelum kita berhenti makan tengah hari pada jam 1.02 kita minta belah bahagian untuk usul pengecualian GST di mana ketika itu memang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tak ramai dalam dewan.

“Sebab itulah kita ambil tindakan untuk memberi pengajaran kepada Kerajaan BN untuk memastikan bahawa usul itu tidak dapat diluluskan kerana kebanyakkan mereka ponteng ketika itu di luar dewan,” katanya pada sidang media

“Kita lihat oleh kerana jumlah mereka tak banyak. Sepatutnya apabila belah bahagian dipanggil hendaklah terus diputuskan semasa itu tetapi speaker ketika itu, Datuk Ronald telah menangguhkan belah bahagian itu ke jam 2.30 petang,” katanya pada sidang media di Bilik Media, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, hanya pada jam 2.30 petang barulah BN tergesa-gesa memanggil semua Ahli Parlimen BN termasuk Timbalan Perdana Menteri kembali ke Dewan Rakyat.

Katanya, pada masa itu, bilangan Ahli Parlimen BN telah meningkat kepada kira-kira 100 orang.

“Melihat keadaan ini, belah bahagian telah disalahgunakan, mereka tunggu sampai cukup bilangan barulah mereka jalankan belah bahagian.

“Kita kata tarik balik dan Speaker memang nak buat undi suara tetapi BN pula nak tunjuk gah dan kesombongan mereka, buat kali pertama Timbalan Perdana Menteri sendiri mengusulkan belah bahagian,” katanya.

=EZY=


Pengarang :