SELANGOR

KeTTHA gagal muktamad nilai SPLASH, jejas proses air Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum mengemukakan nilai sebenar ekuiti rundingan pengambilalihan konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kelewatan itu menyebabkan proses rundingan gagal dimuktamadkan walaupun di peringkat Kerajaan Negeri, jumlah nilai ekuiti sebenar sudah dinyatakan menerusi lantikan panel penilai negeri.

“Kami masih menunggu laporan penilai bebas KeTTHA dan kemudian akan duduk semeja untuk menetapkan kadar harga yang tepat dan bersesuaian dalam pengambilalihan itu,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim menetapkan RM3 bilion sebagai nilai ekuiti pengambialihan baru yang diperakui KeTTHA.

Bagaimanapun, selepas Mohamed Azmin memegang tampuk kepimpinan negeri, jumlah berkenaan disifatkan tidak berasas dan tidak mempunyai justifikasi jelas terhadap proses pengambilalihan itu.

”Selepas saya mengambilalih jawatan Menteri Besar, kami meneliti semula dan didapati kadar tawaran yang diletakkan itu adalah tanpa asas dan (proses) justifikasi.

“Jadi, Kerajaan Negeri telah melantik penilai bebas bagi membuat penilaian semula dan laporan lengkap telah diserahkan kepada KeTTHA bagi tindakan lanjut,” kata Mohamed Azmin.

Justeru katanya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada Putrajaya yang menyebabkan proses rundingan akhir gagal dicapai.

Sementara itu, pentadbiran Putrajaya berterusan mendakwa kemelut penstrukturan air Selangor berpunca daripada kegagalan urus tadbir pentadbiran Selangor.

“Ini tentunya tidak benar kerana proses itu berpunca daripada kegagalan rundingan itu di peringkat Persekutuan kerana kami masih menunggu laporan dari panel penilai yang dilantik Putrajaya.

“Namun, rakyat Selangor lebih jelas dan memahami situasi ini dan rakyat pastinya tidak akan terpengaruh dengan dakwaan tidak benar yang dinyatakan mereka terhadap pentadbiran negeri,” kata Mohamed Azmin.

Terdahulu, SPLASH mendapat konsesi selama 30 tahun daripada Kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional pada Januari 2000 untuk membina, mengoperasi dan menyelenggara loji rawatan air Sungai Selangor.

Ini bermakna, SPLASH adalah pemegang konsesi dan pembekal air terawat kepada SYABAS, dan bertanggungjawab atas bekalan air negeri.

=EZY=

 


Pengarang :