SELANGOR

Reformasi LPHS berhasil, pastikan rakyat mampu miliki rumah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 MAC: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) proaktif dalam menerajui pelbagai inisiatif yang lebih berinovasi dan kreatif di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, reformasi berkenaan dilaksanakan bagi membolehkan rakyat negeri itu mempunyai akses perumahan yang lebih berkualiti, ‘affordable’ dan selesa dinikmati seisi keluarga.

“Sejak dari penubuhannya 15 tahun lalu, LPHS berupaya mengorak langkah ke hadapan bagi mencapai kecemerlangan.

“Contohnya, hasrat untuk memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku 2.0 melalui cetusan idea Pengarah Eksekutif LPHS, Norzatun Aini ternyata menampakkan hasil positif, malah mendapat sambutan gemuruh daripada rakyat negeri ini.

“Selain itu, dasar lebih kreatif dan inovasi ini sememangnya memenuhi aspirasi rakyat dalam sektor perumahan,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.

Terdahulu, Azmin berkata, kemungkinan besar rapat temu yang melibatkan Jabatan Kerajaan Negeri adalah yang terakhir untuk penggal ini.

“Ini adalah proses biasa dalam amalan demokrasi di mana kita akan menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat untuk dinilai dalam pilihan raya umum menjelang tidak lama lagi.

“Justeru, saya menyeru setiap anggota masyarakat jalankan tanggunjawab masing-masing dengan sebaiknya bagi memperkasakan diri dan menentukan masa depan serta hala tuju negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja LPHS dengan komitmen tinggi ditunjukkan bagi memastikan dasar pendemokrasian pemilikan rumah dilaksana dengan jayanya.


Pengarang :