EKONOMI

Ringgit diniaga 3.8990/9030 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 7 MAC: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini dengan sentimen serantau positif selain berita mengejutkan berhubung keterbukaan Korea Utara kepada rundingan berkaitan senjata nuklear negara itu, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit disebut pada harga 3.8990/9030 berbanding dolar AS daripada 3.9020/9050 semalam.

Ketua Perdagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata mata wang serantau mendapat lonjakan daripada berita Korea Utara bersedia mengadakan rundingan dengan AS berhubung isu pengawalan senjata nuklear, sekiranya keselamatan regim itu dijamin.

Dolar AS juga terus lemah disebabkan kebimbangan berterusan berhubung perang perdagangan susulan cadangan Donald Trump mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium.

Pada jam 3 petang ini, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan hasil mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) .

Pada mesyuarat pertama MPC pada 25 Januari, BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Ringgit didagangkan kebanyakannya lebih lemah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9592/9633 daripada 2.9576/9608 Selasa dan lebih lemah berbanding yen kepada 3.6901/6950 daripada 3.6857/6888.

Ringgit juga susut berbanding pound British kepada 5.4173/4240 daripada 5.4039/4084 dan lebih lemah berbanding euro kepada 4.8414/8479 daripada 4.8158/8211.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :