EKONOMI

Ringgit diniaga 3.9050/9100 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 22 MAC: Ringgit mengukuh berbanding dolar AS dalam dagangan awal pagi ini susulan minat baharu pembelian, kata peniaga.

Pada pukul 9 pagi, nota tempatan disebut harga pada 3.9050/9100 berbanding 3.9240/9270 pada penutupan Rabu.

Ketua Perdagangan OAND Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata, keputusan Fed yang memihak kepada kadar faedah rendah dapat memberi kelegaan untuk menjual dolar AS walaupun kadar faedah berpotensi dinaikkan pada tahap yang lebih tinggi pada 2019-2020.

Pada mesyuarat monetari 20-21 Mac, bank pusat itu menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus kepada julat sasaran sebanyak 1.5 peratus kepada 1.75 peratus.

Innes berkata, pada peringkat ini, kemungkinan dolar AS akan berada dalam kedudukan negatif berikutan peningkatan sentimen perang perdagangan, bajet defisit Amerika Syarikat yang tinggi dan kemelut politik yang terus menular dalam pentadbiran Presiden Donald Trump.

Bagi ringgit, beliau berkata, pelonggaran keputusan kadar faedah oleh Fed dan minyak mentah Brent menjejaki ke paras AS$70 setong, patut memberikan rangsangan ke atas unit tempatan walaupun indeks harga pengguna yang lemah semalam, yang mengurangkan kemungkinan Bank Negara menaikkan kadar faedah selanjutnya pada 2018.

“Ringgit dijangkakan kembali mengukuh selepas dua minggu suram,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9748/9790 daripada 2.9752/9788 namun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6948/7012 daripada 3.6907/6946.

Berbanding pound British, ringgit susut kepada 5.5310/5385 daripada 5.5152/5210 dan rendah berbanding euro kepada 4.8285/8351 daripada 4.8171/8224.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :