NASIONAL

Tindakan Speaker Dewan Rakyat isu laporan persempadanan semula memalukan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tidak membenarkan laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya dikaji sebelum dibentangkan, didakwa memalukan Parlimen.

Ahli Parlimen Poko Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata ia satu perkara tidak wajar dan melambangkan ketakutan Dewan Rakyat sebagai medan pembuat dasar berdepan situasi berkenaaan.

“Ia (peraturan ini) yang mana sampai ke peringkat Parlimen hari ini takut untuk orang membacanya. Bagi saya, ia satu perkara sangat tidak wajar dan memalukan.

“Peraturan dibuat Tan Sri Speaker sangat memalukan Parlimen Malaysia,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Sebelum itu, Pandikar Amin Mulia memaklumkan laporan bagi kajian persempadanan semula bagi kawasan pilihan raya telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen hari ini dan akan dibentangkan pada 28 Mac ini.

Sebelum laporan itu dibentangkan, beliau berkata, semua dokumen itu adalah embargo dan Ahli Parlimen dilarang membawa keluar, membocor dan menyiarkannya.

Mahfuz berkata, peraturan diambil Pandikar Amin Mulia itu dianggap pelik dan tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah dunia Parlimen.

Katanya, seharusnya Dewan Rakyat selaku pembuat undang-undang boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat pihak menyiarkan laporan berkenaan.

“Kenapa Parlimen harus takut kerana Parlimen yanag buat undang-undang.

“Sepatutnya kalau ada pihak menyiarkannya maka tindakan undang-undang boleh diambil tetapi Tan Sri Speaker takut bagi mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya itu adalah isu penting dan seharusnya Ahli Parlimen diberi ruang secukupnya untuk meneliti supaya ia boleh dibahaskan ketika hari pembentangan.

Namun, katanya, tindakan Speaker Dewan Rakyat dalam perkara itu menimbulkan keraguan dan tidak menepati semangat demokrasi.

“Persoalannya bagaimana Ahli Parlimen hanya boleh membuat kajian ketika ia dibentangkan untuk dibahaskan sedangkan ia satu perkara yang begitu besar dan penting.

“Permasyhuran dibuat Tan Sri Speaker pada persidangan hari ini iaitu laporan itu tidak boleh disiarkan maka sebab itu kita bangkitkan apa maksud ‘tidak boleh disiarkan’, adalah hanya boleh dibaca untuk pengetahuan sendiri sahaja?,” katanya sambil bersetuju dengan kenyataan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menolak perkara berkenaan.

=EZY=


Pengarang :