KENYATAAN MEDIA

ABIM: Rabu tidak sesuai, jejas ekonomi & sektor awam

OLEH MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa kecewa terhadap pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 bersamaan dengan hari Rabu.

Kekecewaan tersebut jelas dizahirkan oleh rakyat Malaysia yang prihatin di sosial media hatta sehingga ke akar umbi.

Pemilihan hari Rabu sebagai tarikh pengundian di tengah-tengah minggu oleh SPR tanpa justifikasi munasabah menzahirkan tanda tanya akan keseriusan badan tersebut untuk memastikan peratus rakyat yang membuang undi berada di paras yang tinggi.

Sudah tiba masanya kerajaan baharu akan datang untuk meminda undang-undang sedia ada bagi mewajibkan SPR melaksanakan PRU pada hari bersesuaian iaitu pada hari cuti umum yang sudah diketahui selaras dengan prinsip demokrasi yang didukung rakyat.

Menetapkan hari mengundi pada hari bekerja disifatkan sebagai sesuatu yang tidak munasabah secara logistik, ekonomi dan sektor awam.

Secara logistik proses pengundian pilihanraya pada tarikh berkenaan akan membebankan para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka. Ini kerana para pengundi terpaksa mengatur waktu perjalanan mereka untuk pulang ke kampung ataupun pergerakan ke tempat mengundi.

Secara ekonominya menetapkan tarikh pengundian pada 9 Mei 2018 akan menjejaskan produktiviti sektor swasta yang secara rutin beroperasi pada hari Rabu.

Dalam sektor awam pengundian pada hari Rabu akan menjejaskan operasi jabatan kerajaan kerana kakitangan awam juga berhak mengundi sekiranya mereka berdaftar sepertimana yang diperuntukkan dalam perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula pilihanraya ini menarik perhatian yang luar biasa dari pelbagai pihak sepertimana dibukti menerusi pendedahan dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini.

Keterujaan para pengundi untuk berpartisipasi perlu diraikan menerusi lunas-lunas demokrasi yang telah ditetapkan.

ABIM khuatir sekiranya tiada langkah proaktif diambil untuk memudahkan mobiliti pengundi semasa pengundian, ia akan merencatkan jumlah kehadiran pengundi semasa pilihanraya diadakan.

Adalah sesuatu yang mendukacitakan sekiranya mandat bakal diperolehi tidak menggambarkan refleksi suara rakyat sehingga ke akar umbi.

Berdasarkan kepada kenyataan ini adalah menjadi harapan agar pihak kerajaan baik di peringkat negeri dan persekutuan dapat mengumumkan segera pemberian cuti khas sempena PRU 14 untuk memudahkan rakyat untuk menunaikan hak mereka sebagaimana dijamin di bawah lunas demokrasi.

ABIM juga mengharapkan kerjasama pihak agensi swasta agar dapat meluangkan masa dan ruang untuk para pekerja menunaikan hak mereka. Ini kerana sebarang keputusan daripada PRU 14 akan secara langsung memberi kesan kepada ekonomi negara untuk sekurang-kurangnya tempoh lima tahun yang akan datang.

Semoga gesaan ini mendapat perhatian daripada pihak yang sewajarnya ke arah memartabatkan Karamah Insaniah menerusi lunas-lunas demokrasi yang memenuhi citra penyataan kesaksian suara rakyat.

*Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Setiausaha Agung ABIM


Pengarang :