SELANGOR

Baca akhbar keluar video

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 APR: SelangorKini menjadi akhbar negeri pertama, di Malaysia memperkenalkan aplikasi ‘tehtARiq’, iaitu kaedah imbasan berita dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Eddie Ahmad Khodzali berkata, ia membolehkan pembaca mengakses video di TVSelangor hanya dengan mengimbas imej, pada artikel terpilih di SelangorKini.

Katanya, ia sekali gus memudah dan menjimatkan masa pembaca mendapatkan informasi tepat berhubung berita dan program berkaitan Kerajaan Negeri.

“Pelaksanannya sejajar misi dan visi CCSB menyampaikan hebahan Kerajaan Negeri secara lebih menyeluruh dan interaktif.

“Ia juga selaras agenda Smart Selangor gagasan Dato’Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali dan menjayakan agenda melawan ‘fake news’ seperti dibentangkan menerusi Belanjawan Selangor 2018,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi peranti Android.

“Sementara itu, bagi pengguna iOS, ia dijangka boleh dimuat turun dalam masa terdekat,” katanya.

Pembaca sudah boleh menggunakan aplikasi berkenaan bagi keluaran SelangorKini Peduli edisi kedua, bertarikh 10 hingga 16 April.

CCSB adalah anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang dipertanggungjawabkan sebagai media rasmi Kerajaan Negeri.

Dikenali sebagai Media Selangor, CCSB menguruskan penerbitan SelangorKini dan TVSelangor.


Pengarang :