NASIONAL

BERSIH kecam cara SPR urus Undi Awal dan Pos

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak telus dalam menjalankan proses Undi Awal dan Undi Pos.

Pemangku Pengerusi BERSIH 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, hal ini berikutan kegagalan SPR memberikan maklumat jelas bagi meyakinkan orang ramai bahawa tiada unsur penipuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita mendesak supaya undi pos dimansuhkan sejak tahun 2007 lagi. Manakala, untuk proses undi awal, kita menuntut pembaharuan dari segi pengiraan pada hari sama.

“Ia ekoran terdapat banyak keraguan terhadap ketelusan dan proses Undi awal dan Undi Pos, khususnya mengenai keselamatan peti undi, kerahsiaan dan manipulasi kertas undi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPR tetap dengan keputusan meneruskan sistem Undi Awal dan Undi Pos dalam PRU14, pada 9 Mei ini.

“SPR turut mengumumkan bahawa terdapat 300,255 pengundi akan mengundi melalui Undi Awal, manakala jumlah pengundi Undi Pos masih belum dapat dimuktamadkan. Ia dianggarkan lebih 250,000 pengundi.

“Oleh itu, kita mahu SPR tampil memberi informasi terbaru dengan membuat pengumuman secara terbuka berkenaan jumlah pengundi pos diterima oleh pihak mereka setakat ini.

“Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan risiko penipuan dan manipulasi undi yang akan menentukan keputusan pilihan raya, terutama di kerusi-kerusi marginal,” katanya.


Pengarang :