SELANGOR

Bubar DNS: MB bakal hadap DYMM Sultan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tarikh yang diperkenan baginda untuk pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mohamed Azmin dalam kenyataan media memaklumkan, hal itu supaya proses Pilihan Raya Negeri Selangor ke-14 dapat diadakan.

“Saya mengambil maklum pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa 7 April (esok).

“Selaras dengan Perkara LV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya akan menghadap DYMM Sultan Selangor bagi menyampaikan nasihat untuk mendapat perkenan Tuanku bagi pembubaran DNS,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 7 April selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau membuat pengumuman itu secara langsung, pada jam 12 tengah hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, pagi tadi.

Berikutan itu, Perdana Menteri menasihatkan ketua Kerajaan Negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.


Pengarang :