BERITA UTAMASELANGOR

Bukan RM2.24 juta, kesilapan serius laporan MalaysiaKini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 AP : Kesilapan serius berhubung laporan portal berita MalaysiaKini membabitkan lawatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali, ke Gombak dan Bukit Antarabangsa yang diterbitkan 14 April lalu pada jam 11.29 malam, amat mengecewakan.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, laporan bertajuk “Cash, laptops, iPads – Azmin doles out over RM2m worth goodies” itu adalah kesalahan serius dan andaian kurang tepat.

“Kami bertanggungjawab memperbetulkannya kerana ia menjejaskan reputasi dan nama baik beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shao Loong berkata, antara kenyataan mengelirukan adalah sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, sedangkan ia sangat tidak benar.

“Tiada tunai diberi dalam program itu tetapi hanya cek diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

“Selain itu, kenyataan bahawa Mohamed Azmin mengagihkan iPad kepada penerima yang layak sama sekali tidak benar tetapi ia adalah gajet tablet Samsung mampu milik,” katanya.

Katanya, kebenaran dan dokumen rasmi berhubung perkara itu boleh disemak di pejabat kawasan wakil rakyat, Pejabat Daerah Gombak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan semuanya tertakluk pada audit.

Manakala, laporan MalaysiaKini juga menyatakan daripada empat aktiviti pada 14 April lalu “jumlah bantuan yang diagihkan adalah lebih RM2.24 juta dalam dua aktiviti di Ukay Perdana dan Kampung Kerdas”.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali. Faktanya, jumlah keseluruhan agihan bantuan pada empat aktiviti berkenaan hanya berjumlah RM967,150 iaitu daripada peruntukan kawasan dan program rasmi Kerajaan Negeri.

“Namun, angka yang dilaporkan MalaysiaKini adalah 2.3 kali ganda daripada angka sebenar dan ia amat dikesali kerana tiada sebarang usaha dibuat untuk menghubungi pegawai kawasan untuk pengesahan maklumat berkenaan sebelum penerbitan,” katanya.

Shao Loong berkata, angka sebenar itu termasuk beberapa ratus ribu ringgit daripada peruntukan kawasan Mohamed Azmin, manakala sebahagian bantuan untuk memenuhi permohonan naik taraf kemudahan awam dan bakinya pula kepada bantuan golongan memerlukan serta pendidikan.

Shao Loong turut menjelaskan, persatuan penduduk di sembilan pangsapuri kos sederhana juga kos rendah kawasan terbabit sudah memohon kerja pembaikan bangunan di bawah Program SMART LIFE serta CERIA oleh Kerajaan Negeri dan ia sudah diluluskan, pada November 2017.

Shao Loong menegaskan, semua permohonan bantuan itu sudah dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen bukan perbelanjaan saat akhir khusus untuk pilihan raya.

“Tuduhan ‘goodies’ pada tajuk adalah mengelirukan, sedangkan pengagihan untuk kawasan adalah sebahagian tanggungjawab rutin terhadap penduduk dan Mohamed Azmin melaporkan berhubung perkara itu secara terbuka menerusi media sosial.

“Bagaimanapun, kami amat menghormati peranan media bebas sebagai Kuasa Keempat ‘Fourth Estate) untuk semak dan imbang dalam amalan demokrasi moden, namun ia mesti dilunaskan dengan etika berpiawaian tinggi.

“Fakta perlu disahkan dan harus ada komunikasi dengan sumber supaya orang awam mendapat maklumat benar,” katanya.


Pengarang :