NASIONAL

Dr Wan Azizah sedih Tian Chua tak layak bertanding

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 28 APR: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sedih apabila Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua tidak dibenarkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kali ini.

Katanya, sebelum ini pemilihan Tian Chua sebagai calon di Parlimen Batu sudahpun dipilih dengan baik oleh barisan kepimpinan parti.

“Saya terkejut dan amat bersedih kerana KEADILAN tidak dapat bertanding di situ,” katanya ditemui selepas diumumkan sebagai calon Parlimen Pandan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pagi tadi.

Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu pada PRU14 selepas pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain membuat keputusan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis, walaupun mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000.

Tian Chua mengecam keputusan itu dan mendakwa ia sebagai taktik kotor untuk menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Keputusan itu bertentangan dengan pegawai pengurus pilihan raya pada PRU 2013 yang membenarkan Tian Chua bertanding walaupun ketika itu beliau disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan juga dikenakan denda RM2,000.

=EZY=


Pengarang :