Hilman Idham
SELANGOR

Pertahan agenda Reformasi, Hilman Idham wakil suara anak muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 APR: Calon muda KEADILAN N17 Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) komited membawa suara anak muda bagi menyelesaikan isu kemasyarakatan pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, pengalaman beliau sebagai setiausaha sulit Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali cukup meyakinkan kredibiliti beliau untuk diangkat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Pengalaman saya menjalankan kempen pilihan raya Dato’ Menteri Besar sebelum ini dan pengalaman bekerja di bawah beliau mematangkan saya.

“Saya kira ini juga peluang yang baik sebagai golongan muda untuk mewakili golongan muda di kawasan Gombak Setia.

“Lebih-lebih lagi difahamkan terdapat lebih 10,000 pengundi muda di kawasan ini dan Gombah Setia menjadi elemen terpenting kepada kita untuk meneruskan perubahan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas hadir menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu, pagi ini.

Kerusi N17 bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara wakil Pakatan Harapan (PAKATAN), wakil PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan; dan wakil Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pada Pilihan Raya Umum 13 lalu, kerusi DUN berkenaan dimenangi calon PAS dengan majoriti sebanyak 1,681 undi.

Dilaporkan seramai 47,369 pengundi berdaftar bagi kawasan DUN berkenaan.

=EZY=


Pengarang :