NASIONAL

KEADILAN yakin boleh hadapi tiga penjuru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 APR: KEADILAN yakin Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu berdepan cabaran pertarungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran KEADILAN pernah berdepan pertarungan 15 penjuru, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Selambau, pada 2009.

“Saya merayu sungguh-sungguh, saya yakin Selangor akan kekal di tangan Pakatan walaupun tiga penjuru. Tak apalah tiga atau empat penjuru.

“KEADILAN pernah berdepan 15 penjuru di Bukit Selambau. Bukan PRU tetapi PRK, lagi susah. Kertas undi cukup panjang tetapi orang Bukit Selambau pilih KEADILAN,” katanya pada Ceramah Pakatan Paya Jaras di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, masyarakat di Paya Jaras perlu bekerja kuat bagi membantu kemenangan Pakatan.

Pada PRK Bukit Selambau, calon KEADILAN, S Manikumar berjaya menewaskan calon popular Barisan Nasional, Datuk S. Ganesan dan 13 calon bebas lain dengan majoriti 1,804 undi.

Manikumar berjaya memperolehi 12,632 undi, berbanding Ganesan 10,828 undi dan calon lain hilang deposit.


Pengarang :