BERITA UTAMASELANGOR

‘Meh sini Chef Min ajar masak rendang’

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 4 APR: Isu mengenai rendang ayam ‘crispy’ masih terus diperkatakan dan mendapat respon meluas dan diperkatakan pelbagai peringkat masyarakat melalui media sosial.

Segala-galanya bermula ekoran pertandingan MasterChef UK apabila tukang masak, Zaleha Kadir Olpin tersingkir daripada pertandingan itu kerana ayam rendangnya dikatakan seorang juri pertandingan tidak rangup dan garing.

Terbaharu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut sama mengulas isu berkenaan apabila menerusi media sosial beliau memuat naik gambar menunjukkan skil memasak dan membantu menyediakan sekawah rendang.

“Orang putih ada hati ajar orang Malaysia cara masak rendang.

“Meh sini Chef Min ajar masak rendang. Oh ya, ayam rendang tak ‘crispy’ ya?” tulis Mohamed Azmin di laman Facebook rasmi beliau.

Namun tidak diketahui pula tarikh sebenar Mohamed Azmin menunjukkan bakat memasak rendang itu.

Sebelum ini juga beberapa tokoh terkemuka juga menyelar rancangan itu, termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia HE Vicki Treadell dan Cef selebriti Chef Wan.

Masterchef UK bagaimanapun menafikan Wallace berkata ayam rendang Zaleha tidak rangup, yang bertentangan sama sekali dengan video yang beredar di media sosial.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata rakyat Malaysia berbangga dengan masakan tradisi mereka.

“Kami rakyat Malaysia bangga dengan hidangan kami dan kami tahu bagaimanana nak sedia dan hidang.

“Sila terbuka dengan tradisi kami dan kamu akan belajar sesuatu,” kata Mohamed Azmin.

KFC Juga Ada Cara: “Not Rendang”

Dalam pada itu, KFC Malaysia menerusi Facebooknya memuat naik sekeping gambar tertera “Not Rendang” atau “bukan rendang” merujuk kepada ayam gorengnya yang rangup tidak harus dikelirukan dengan rendang.

“Satu-satunya makanan yang sepatutnya rangup adalah ayam goreng kami. Tahniah Masterchef Zaleha!” menurut kapsyen dimuat naik bersama gambar itu.

Selain KFC, satu lagi restoran makanan segara, myBurgerLab juga menggunakan platform media sosial di Twitter.

 

Pesuruhjaya Tinggi Britain Sekolahkan Juri Apa Itu Rendang Ayam

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell bertindak ‘sekolahkan’ juri-juri pertandangan masakan popular itu.

Treadell menerusi Twitternya pada 3 April menjelaskan rendang “tidak pernah rangup” dan mungkin telah dikelirukan dengan ayam goreng.

“Rendang adalah hidangan ikonik Malaysia dan tidak seharusnya dikelirukan dengan Indonesia.”

“Ia boleh jadi ayam, kambing atau daging lembu. Ia tidak pernah rangup dan tidak patut dikelirukan dengan ayam goreng yang kadang-kala dihidangkan dengan nasi lemak,” kata Treadell.

 


Pengarang :