PBTSELANGOR

MPK wujud program lesen niaga sementara bantu peniaga

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil inisiatif dengan memberikan lesen sementara bagi semua aktiviti perniagaan di seluruh kawasan pentadbirannya, sekali gus menyaksikan pertambahan hasil sebanyak RM2 juta.

Yang DiPertunya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, program pemberian lesen sementara itu berkuatkuasa 1 April, sebagai usaha untuk meningkatkan pertumbuhan mikro secara sihat dan terkawal.

Katanya, lesen sementara itu berpandukan kepada garis panduan pemberian lesen bagi aktiviti perniagaan di seluruh kawasan MPK.

“MPK mahu memberi peluang kepada peniaga untuk berniaga secara sah, bagaimanapun semua permohonan akan diteliti berdasarkan garis panduan sebelum sebarang kelulusan lesen dikeluarkan.

“Inisiatif ini sekali gus meningkatkan hasil MPK melalui kutipan bayaran lesen perniagaan dan memudahkan MPK membuat tindakan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas premis yang dilesenkan, juga kebersihan,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Yasid berkata lesen sementara diberikan boleh ditarik semula sekiranya terdapat aduan atau kepentingan awam di kawasan itu atau melanggar syarat yang ditetapkan MPK.

Katanya, peniaga perlu menandatangani surat akujanji pengeluaran lesen dan permohonan tertakluk untuk mana-mana aktiviti perniagaan yang belum mempunyai keputusan mesyuarat sedia ada.

Terdahulu, hasil bancian mendapati kebanyakan aktiviti perniagaan di kawasan luar bandar tidak dapat dilesenkan disebabkan faktor ketiadaan Kebenaran Merancang (KM) di kawasan terbabit serta berada di luar pernacangan ditetapkan.

=EZY=

 


Pengarang :