SELANGOR

Rekod kerja, faktor Azmin & sentimen Selangor sandaran Khairuddin

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Rekod cemerlang perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN), faktor Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan sentimen Selangor menjadi sandaran calon kerusi DUN N.38 Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada 2013 lalu.

Mohd Khairuddin berkata, imej Mohamed Azmin di mata rakyat akar umbi memberi kelebihan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor.

“Kita perlu akui faktor prestasi YAB Dato’ Menteri Besar itu penting dalam PRU kali ini dan saya harap rakyat terus kekalkan Kerajaan Negeri yang ada.

“Selain itu kelebihan saya, saya dah berkhidmat di sini lebih lima tahun tetapi walaupun kita ada keyakinan kita tetap perlu kerja kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini sebaik selesai penamaan calon bagi kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen Sungai Buloh di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara di sini, hari ini.

Jelasnya, pengundi di Paya Jaras perlu mengekalkan Kerajaan Negeri PAKATAN supaya segala kemudahan yang ada seperti skim di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat dapat diteruskan.

Mohd Khairuddin turut melahirkan keyakinan Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan lagi program untuk rakyat sekiranya menang pada PRU ini.

Pada PRU-14 kali ini, Mohd Khairuddin yang mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras dicabar dua lagi calon daripada PAS, Mohd Hanapi Zulkapli (PAS) dan Datuk Zain Isma Ismail daripada Barisan Nasional (BN).

=EZY=

 


Pengarang :