SELANGOR

Selangor perluas kemudahan bas elektrik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 APR: Kerajaan Negeri bercadang menyediakan lebih banyak perkhidmatan bas elektrik percuma di bawah akses kemudahan Bas Smart Selangor, seluruh negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, wujud keperluan penambahan jumlah bas percuma sedia ada kini.

“Buat masa ini, kita memang ada perancangan menambah jumlah bas elektrik sedia ada, namun terdapat masalah pembekalan untuk dibekalkan kepada pasaran dalam jangka masa enam bulan ini.

“Namun, memang ada permintaan sangat tinggi daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri, tetapi Kerajaan Negeri perlu menangguhkan pertambahan jumlah bas itu sehinggalah masalah pembekalan bas itu selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada temubual esklusif bersama SelangorKini di pejabatnya, semalam.

Untuk rekod, antara PBT negeri yang menyediakan perkhidmatan bas elektrik di negeri ini adalah, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Chang Khim berkata, perkhidmatan bas elektrik Smart Selangor memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang tinggi berbanding kemudahan bas percuma sedia ada.

“Operasi perjalanan sebuah bas Smart Selangor sehari memperuntukkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM800, tetapi untuk perkhidmatan Bas Elektrik Smart Selangor, penambahan RM200 diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan operasi sebuah bas elektrik adalah sebanyak RM1,000 dan diakui kosnya agak tinggi berbanding kemudahan bas percuma biasa,” katanya.

Terdahulu, pengenalan perkhidmatan bas elektrik dilancarkan di Selangor sebagai inisiatif mengurangkan pembebasan karbon ke dalam ruang udara negeri ini.

Pelaksanaannya juga sejajar matlamat Kerajaan Negeri untuk membudayakan penggunaan teknologi hijau dan rendah karbon.


Pengarang :