SELANGOR

UNISEL mahu Shah Alam kekal hijau

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 APR: Penuntut Universiti Selangor (UNISEL) mahu Shah Alam terus kekal hijau selari dengan namanya Shah Alam Bandar Lestari.

Pengarah Projek Kempen Go Green, Mohammad Hafiq Atan, 23 berkata, masyarakat setempat perlu mengekalkan kehijauan berkenaan dengan mengamalkan kempen kitar semula.

“Kempen kitar semula ini memang kedengaran klise, namun jika tidak dilakukan mungkin status bandar lestari tidak wujud lagi.

“Pada 2016, kajian mendapati setiap isi rumah menghasilkan 15,000 tan metrik sampah sehari, jumlah berkenaan juga dipercayai boleh memenuhkan bangunan KLCC, jadi sudah tentu masalah ini perlu dipandang serius semua pihak,” katanya ketika Kempen Go Green di Unisel Shah Alam, pagi tadi.

Kempen yang berlangsung selama tiga hari itu turut melibatkan lebih 100 penuntut Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.

Selain forum kitar semula, penuntut UNISEL turut berpeluang mempamer serta mengutip barangan terpakai daripada penduduk Shah Alam.

Mohammad Hafiq berkata, kempen UNISEL membudayakan kitar semula dilihat berjaya walaupun dianjurkan secara kecil-kecilan.

“Penduduk Shah Alam khasnya menyedari barang terbuang boleh menjana pendapatan sampingan, sekarang kita mempergiatkan lagi usaha dengan menanam budaya ini menerusi amalan 3R iaitu ‘Reduce’, ‘Reuse’ dan ‘Recycle’.

“Sekiranya ini benar-benar mencapai matlamat yang ditetapkan, Shah Alam akan menjadi kawasan lebih bersih pada masa depan,” katanya.


Pengarang :