NASIONAL

AG sila rujuk Perlembagaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 MEI: Bekas Menteri Persekutuan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyarankan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali merujuk semula perundangan dan ketetapan diputuskan dalam Perlembagan Malaysia.

Beliau berkata, hal itu kerana Apandi tidak memahami prinsip Perlembagaan sebenar dalam menentukan kedudukannya sebagai peguam negara.

Ia susulan keangkuhan Apandi untuk tidak meletakkan jawatannya, selepas mendapat bayangan pengundurannya akan dibuat pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

“Tan Sri Apandi, lebih baik tidak memberikan reaksi seperti dilaporkan (media pembangkang).

“Penentuan kedudukan Peguam Negara terserah kepada Kerajaan (Persekutuan) yang berkuasa dan Yang di-Pertuan Agong seperti disyorkan Ketua Kerajaan.

“Artikel 145 mesti dibaca bersekali dengan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Twitter.

Apandi sebelum ini dilapor tidak akan meletakkan jawatannya selepas kekalahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinetnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sebaliknya kata Apandi, beliau akan bekerjasama dengan Kerajaan PAKATAN membabitkan aspek perundangan dalam negara.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan itu bersifat mengarut dan tidak boleh diterima.

“Saya fikir apa yang pendakwa awam atau peguam negara kata hari ini berkaitan menasihatkan kerajaan sebagai bullshit,” katanya pada sidang media PAKATAN, baru-baru ini.

Apandi sebelum ini adalah individu yang didakwa menyembunyikan salah laku Najib berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail yang dipecat Najib selepas cuba membongkar skandal kewangan terbesar negara itu.


Pengarang :