NASIONAL

CUEPACS mohon lanjut notis henti kakitangan kontrak

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 MEI: Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melanjutkan notis penamatan kontrak penjawat awam, sekurang-kurangnya enam bulan ekoran pengumuman beberapa agensi dibubarkan, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu bertujuan memberi ruang kepada mereka mendapatkan pekerjaan baharu, sekali gus merancang masa depan dengan lebih baik.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang bakal diberhentikan itu mempunyai bebanan hutang dan komitmen kewangan selain tanggungan anak yang ramai.

“Kita difahamkan bukan semua yang diberhentikan adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu, terdapat juga daripada kumpulan pelaksana 1 dan 2 juga golongan profesional serta pengurusan yang menerima notis penamatan perkhidmatan, pada 16 Jun.

“Mereka ini tidak langsung terlibat dengan pekerjaan membuat dasar, sekurang-kurangnya kalau boleh kita minta supaya beri notis berhenti enam bulan kepada mereka sebelum diberhentikan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Selain itu, katanya, tarikh akhir notis perkhidmatan yang bersamaan dengan hari kedua Aidilfitri bakal mengundang pelbagai kesulitan dalam menyiapkan persiapan dan belanja seisi keluarga.


Pengarang :