BERITA UTAMANASIONAL

KSP RMKe11 tangani ketirisan, amalan tidak telus diberhentikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe11) akan mengutamakan dasar Kerajaan baharu untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan menerusi amalan kewangan yang tidak telus akan diberhentikan serta ketirisan pada semua peringkat ditangani.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia membolehkan keutamaan KSPKe 11: Hala Tuju Baharu 2018 – 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 itu akan dibentangkan pada penghujung tahun ini.

Katanya, KSP RMKe11 itu disediakan selari dengan Buku Harapan iaitu Membina Negara Memenuhi Harapan yang akan memberi tumpuan kepada ekonomi pasaran bebas dan mesra pelabur di samping penekanan kepada ekonomi manusiawi berteraskan keadilan sosial.

“Antara langkah jangka pendek yang drastik perlu diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan. Ia termasuklah mengawal perbelanjaan operasi Kerajaan serta mengkaji semula projek-projek pembangunan yang tidak mampan, tidak perlu dan yang tidak mendesak.

“Hutang Kerajaan juga akan distruktur semula bagi mengurangkan pendedahan risiko kewangan. Negara menghadapi cabaran untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan pada masa sama cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

“Kedua-dua objektif ini perlu diimbangi bagi menentukan pembangunan yang berterusan serta bersifat inklusif,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, walaupun ketika ini Kerajaan sedang giat melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, namun Kerajaan tidak akan mengabaikan objektif pertumbuhan sosioekonomi.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan akan meneruskan projek pembangunan yang memberi impak tinggi kepada ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga memandang serius ke arah mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri tanpa mengira pendirian politik.

“Kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan terutamanya bagi golongan B40,” katanya.

Beliau memaklumkan Kerajaan juga akan memastikan mekanisme yang lebih telus diterima pakai dalam proses penyediaan KSP RMKe-11.

Katanya, dasar sosioekonomi progresif yang akan diperkenalkan dalam KSP RMKe-11 akan melengkapi inisiatif Kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan reformasi institusi.

“Hasilnya, Malaysia akan dibentuk untuk menjadi semula sebuah negara maju yang dihormati dan dipandang tinggi selaras dengan matlamat Wawasan 2020,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :