SELANGOR

Haniza mula tinjau rumah pangsa sekitar Lembah Jaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 21 MEI: Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha, mula turun padang meninjau beberapa rumah pangsa sekitar Ampang bagi misi memperindahkan perumahan terbabit.

Haniza berkata, beliau tekad dengan misinya itu kerana percaya kawasan persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk sikap seseorang.

“Jika kawasan perumahan itu dilihat kotor, sudah tentu masyarakatnya hidup dalam keadaan tidak selesa. Maka, saya tidak mahu itu berlaku di kawasan saya yang sememangnya majoriti penduduk tinggal, di rumah pangsa.

“Disebabkan itu, saya akan mengggunakan Skim Ceria untuk memperindahkan rumah pangsa, di Lembah Jaya. Jika ada ahli rukun tetangga tidak tahu, maka kita akan ajar mereka cara memohon skim berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Haniza yang juga Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar berkata, antara rumah pangsa yang sudah dilawatinya termasuk Flat Kemboja, Flat Cempaka, Flat Taman Kosas, Flat Taman Halaman Sri Watan, Flat Lembah Permai dan Flat Taman Mulia Jaya.

Katanya, antara tumpuan utama ialah mengecat bangunan rumah pangsa yang cat dikenalpasti sudah kusam.

“Masih ramai yang tidak tahu kegunaan Skim Ceria ini. Ia adalah skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran.

“Kerajaan Negeri akan membantu membiayai 80 peratus kos kerja dan selebihnya ditanggung penduduk.

“Skim itu juga bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap penduduk dalam menjaga dan menjamin harta bersama, bagi tempoh masa yang panjang,” katanya.


Pengarang :