SUKANKINI

Malaysia rai IDFF tanda sokongan program F4F

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 MEI: Malaysia, salah satu negara peserta program Gazprom Football for Friendship (F4F), menyertai lebih 200 bandar raya dunia meraikan Hari Bola Sepak dan Persahabatan Antarabangsa (IDFF), awal Mei lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sambutan kali pertama bersama duta muda negara ke F4F, Imran Zakaria dan Lauren Hoh di Wisma FAM di Kelana Jaya, adalah tanda sokongan terhadap program itu.

“Kami gembira menyatakan sokongan terhadap usaha ini yang memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Inisiatif ini menyerlahkan kuasa bola sepak dalam menyatukan anak muda dan mewujudkan impak positif dalam masyarakat dan kami menyokong penyertaan duta muda negara ke F4F dalam usaha mempromosikan nilai sedemikian, ” katanya.

Imran dan Lauren akan bersama peserta dari 211 negara lain dalam program F4F sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Moscow, Rusia, mulai 8 hingga 15 Jun ini.

Imran terpilih ke program itu sebagai jurulatih muda akan melatih pemain yang akan bermain antara satu sama lain dalam Kejohanan Antarabangsa F4F, manakala Lauren menjadi wartawan muda dengan liputan semua aktiviti tempatan serta global program F4F sebagai sebahagian daripada Pusat Media Kanak-kanak Antarabangsa.

IDFF disambut negara peserta sebagai sebahagian daripada program F4F diraikan bersama duta muda dengan mengikat gelang persahabatan biru-hijau kepada hadirin sebagai lambang inisiatif global yang mana rantai gelang biru melambangkan langit damai dan tali hijau (padang bola sepak yang boleh diakses semua pihak).

Di seluruh dunia, kanak-kanak, orang dewasa dan peminat bola sepak berkumpul untuk meraikannya dengan mengadakan perlawanan persahabatan, pertandingan bola sepak, latihan terbuka dengan pemain bintang dengan liputan luas media serta mendapat sokongan ramai.

FAM meraikan IDFF dengan mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan antara peserta berkaitan dengan sertai Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihannya, David Abela; Ketua Media, Wan Fakhrul dan Ketua Pembangunan Akar Umbi, Samuel Siew.

IDFF pertama dimula sekumpulan duta muda bola sepak F4F, pada 2014.

Sejak beberapa tahun penganjurannya, ia menarik perhatian dan penyertaan pemain bola sepak terkenal dunia seperti Branislav Ivanovic dari Serbia, Yuri Lodygin (Rusia), Dirk Kuyt (Belanda) dan Theodoros Zagorakis (Greece).


Pengarang :