SELANGOR

PAKATAN tadbir Persekutuan, pembangunan Selangor lebih pesat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: Selangor akan menikmati pembangunan lebih pesat dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) selaku kerajaan di peringkat Persekutuan.

Exco Kerajaan Negeri, Izham Hashim berkata, kerjasama erat antara kedua pihak akan memberikan kelebihan bagi menjayakan hasrat berkenaan.

“Sebelum ini pentadbiran Kerajaan Negeri (diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) walaupun kurang dibantu tetapi membangunkan negeri dengan jaya.

“Sekarang dengan PAKATAN di peringkat Persekutuan juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dari Pandan maka saya kira kerjasama akan lebih erat agar Selangor dapat menikmati pembangunan lebih pesat,” katanya dalam Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah itu berkata, selepas pengambilalihan pemerintahan negara, PAKATAN kini menumpukan perhatian bagi mengisi kejayaan itu dengan merancang dasar ke arah pelaksanaan pelbagai program seperti termaktub di dalam manifestonya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu memberi ruang dan masa kepada PAKATAN dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi merealisasikan hasrat itu.

“Pembebasan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diyakini akan memberi kelebihan dalam usaha membawa Malaysia ke arah lebih baik selepas ini.

“Berbeza situasi di Selangor kerana ia negeri menang dan ditadbir PAKATAN sejak 10 tahun lalu maka kita nak menyambungnya dengan membuat lebih baik lagi untuk rakyat,” katanya mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah yang muncul wanita pertama negara sebagai Timbalan Perdana Menteri.

=EZY=


Pengarang :