NASIONAL

Pertemuan tingkat hubungan dua hala

PUTRAJAYA 19 MEI: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sebagai langkah positif ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan baik itu penting lebih-lebih lagi kedua-dua negara merupakan negara yang berjiran di rantau ini.

“Satu penghormatan dapat bertemu dengan Hsien Loong hari ini. Ia adalah satu pertemuan yang baik.

“Pertemuan ini menekankan tentang isu-isu bilateral (dua hala) kedua-dua negara dan hubungan ini akan lebih baik lebih-lebih lagi kedua-dua negara adalah negara berjiran di rantau ini,” katanya selepas pertemuan itu di sini hari ini, lapor Utusan Online.

Turut hadir, suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Hsien Loong, Ho Ching

Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung di sebuah hotel di sini dan mereka dilihat meninggalkan hotel berkenaan kira-kira jam 1.30 petang selepas pertemuan itu.

Dr. Wan Azizah, 66, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan menyifatkan pertemuan dengan Hsien Loong itu sebagai satu perjumpaan antara rakan lama.

Pada asasnya, beliau berkata, kedua-dua negara percaya akan hubungan dua hala kukuh selaras dengan apa yang ditekankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ditanya berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) melibatkan kedua-dua negara, Anwar menjelaskan, perkara itu akan dibincangkan di peringkat Perdana Menteri.

“Perdana Menteri Singapura berkata pihaknya mengalu-alukan perbincangan lanjut serta kerjasama lebih baik antara Malaysia-Singapura. Beliau merasakan ia akan berlangsung dengan baik di peringkat pegawai dan Perdana Menteri,” katanya.


Pengarang :