SELANGOR

Azmin ucap terima kasih kepercayaan PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 19 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang dipertanggungjawabkan kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan kementerian kanan sangat penting bagi memastikan ekonomi negara berkembang baik.

Mohamed Azmin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tanggungjawab berat itu.

“Saya dah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan untuk menerajui kementerian kanan yang penting dan ini adalah kementerian baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan di sini, hari.

Katanya, pengumuman Tun Mahathir semalam amat mengejutkan beliau memandangkan beliau sebelum ini tidak memaklumkan butiran portfolio yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

“Beliau meminta saya kembali untuk memberikan beberapa cadangan tambahan untuk memastikan usaha membantu dan merancang pembangunan ekonomi Malaysia berjalan baik,” katanya.

Mohamed Azmin berkata beliau akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan kedudukannya sebagai Dato’ Menteri Besar.

=EZY=


Pengarang :