AGAMASELANGOR

RMS sampaikan sumbangan YIDE RM67,800 untuk anak yatim Kuala Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 20 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyalurkan sumbangan RM67,800 kepada 678 anak yatim di daerah Kuala Selangor, sempena Aidilfitri tahun ini.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang berkenan mencemar duli berangkat hadir ke majlis berlangsung di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, jurucakap YIDE memaklumkan, Kuala Selangor adalah daerah pertama dalam program YIDE tahun ini yang mana daerah selebihnya ialah Klang, Hulu Langat dan Hulu Selangor pada minggu berikutnya di masjid terpilih.

“Daripada jumlah disalurkan, setiap anak yatim akan menerima RM100 untuk persiapan menghadapi Aidilfitri tahun ini.

“YIDE adalah organisasi dimiliki Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal kebajikan anak yatim di Selangor khususnya berkaitan sumbangan Aidilfitri,” katanya.

Selain itu, katanya, yayasan itu turut berperanan menyalur sumbangan kecemasan ‘Ad-Hoc’ kepada mangsa musibah seperti kebakaran, banjir dan sebagainya dengan bantuan kit barangan asas keperluan harian dan wang tunai.

“YIDE juga menjalankan operasi dialisis di enam daerah terpilih antaranya, Pusat Dialisis MAIS cawagan di Bukit Jelutong, Sungai Besar, Kuala Selangor, Taman Melawati, Kapar dan Shah Alam,” katanya.

=EZY=


Pengarang :