EKONOMI NASIONAL

Blockchain beri impak baru pada teknologi negara – Dr Faiz

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 27 JUN: Penggunaan sistem teknologi rantaian blok (Blockchain) dijangka memberi impak yang baik kepada kerajaan.

Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, teknologi Blockchain memberi kesan kepada ekonomi termasuk masyarakat dan juga pemain industri.

Katanya, secara mudahnya Blockchain boleh dianggap sebagai lejar digital dan urus niaga dicatatkan secara kronologi dan terbuka, serta boleh digunakan dengan berkesan untuk mengelak penipuan.

“Teknologi itu menggabungkan pangkalan data dan kriptografi untuk bertindak sebagai platform pemindahan pelbagai urusan dengan pantas, selamat dan menjimatkan kos.

“Pemain industri dan pihak kerajaan negeri perlu berbincang dan melihat kesan kegunaan teknologi Blockchain ini,” katanya ketika Forum ‘Adoption BlockChain in Industry and Higher Learning’ di Fakulti Perniagaan Universiti Selangor (UNISEL) di Wisma PKNS, di sini.

Mohd Faiz berkata, forum berkenaan adalah permulaan yang baik kepada hala tuju penggunaan teknologi Blockchain di negara ini.

“Malah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi khasnya sentiasa memberi ruang kepada inisiatif baru termasuk Blockchain, ini kerana kita melihat teknologi tinggi ini memberi kesan baik kepada negara.

“Bagaimanapun forum kali pertama ini adalah permulaan yang baik dan ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan juga industri,” katanya.


Pengarang :