SELANGOR

Exco santuni etnik Rohingya beri bantuan Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 10 JUN: Sempena kedatangan Aidilfitri, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan asas kepada 60 keluarga etnik Rohingya pada Majlis Agihan Bakul Makanan yang diadakan di Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS), di sini, hari ini.

Sumbangan berkenaan merupakan kelolaan sepenuhnya Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim dengan kerjasama UK International Mission.

Dr Siti Mariah berkata, program itu merupakan program amal selain memastikan etnik Rohingya tidak terpinggir untuk bersama menyambut kedatangan Aidilfitri.

“Program ini bertujuan untuk memberi sumbangan berupa makanan mentah kepada keluarga etnik Rohingya yang bermastautin di negara ini.

“Selain itu, ia juga untuk mengeratkan lagi hubungan etnik Rohingya dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Serantau Muslim,” katanya.

Sementara itu, Pengetua KGLCS yang juga selaku Presiden ‘Ethnic Rohingya Comittee of Arakan (ERCA) Malaysia, Mohd Rafique Khairul Bashar amat terharu terhadap bantuan yang disalurkan itu.

“Sumbangan berupa bahan makanan asas sebegini adalah amat dialu-alukan terutamanya pada musim perayaan yang bakal tiba tidak lama sahaja lagi,” katanya.

Manakala, salah seorang pelajar KGLCS, Nabila Fatihah Nabil Husain, 10, berkata, beliau berasa amat gembira dengan bantuan dihulurkan, namun agak sayu apabila mengenangkan nasib etnik mereka di negara sendiri.

“Saya gembira tinggal di Malaysia kerana menerima pelbagai kemudahan yang tidak akan dapat di negara sendiri namun apabila memikirkan nasib saudara di sana, jauh di sudut hati saya amat sedih,” katanya yang juga merupakan anak yatim kematian ibu bapa akibat peperangan di sana.

Namun, bagi Saima Abdul Rashid, 12, berkata, beliau mahu belajar ke peringkat lebih tinggi dan berniat mahu selamatkan saudara senasib di negara mereka

“Saya mula masuk Malaysia sejak berusia lima tahun dan tidak dinafikan sambutan perayaan setiap tahun disambut penuh meriah dengan adanya pelbagai bantuan dari rakyat negara ini.

“Namun, saya bercita-cita mahu menyelamatkan saudara saya di sana supaya nasib kami terbela satu hari nanti,” katanya.


Pengarang :