NASIONAL

Kanak-kanak maut ditikam 30 kali

KUALA LUMPUR 19 JUN: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dipercayai ditikam saudaranya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah teres di Jalan Kuang Gunung 4, Taman Kepong, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi.

Difahamkan, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital swasta di Desa Park City Kepong, di sini, mempunyai kira-kira 30 kesan tikaman di badan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, susulan kejadian, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga saudara kepada kanak-kanak itu di tempat kejadian jam 9.45 malam tadi.

“Suspek yang berusia 21 tahun tidak tinggal bersama mangsa dan keluarganya. Dia datang ke rumah berkenaan dan ketika itu hanya emak, nenek dan adik mangsa berada di rumah.

“Mangsa bermain dengan suspek di tingkat bawah manakala ibu mangsa tidur di tingkat atas bersama bayi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nenek mangsa yang berada di tingkat bawah keluar sebelum pulang kira-kira 30 minit kemudian dan menemui mangsa di dalam stor dengan keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Keluarga berkenaan meminta bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital swasta dan doktor yang memeriksa menemui kira-kira 30 kesan tikaman menggunakan objek tajam pada badan.

“Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :