Selangorkini
SELANGOR

Kerja teroka bukan dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Cerakah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN : Tiada kerja penerokaan hutan dilakukan di kawasan Hutan Simpan Bukit Cerakah, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Dr Mohd Puat Dahalan.

Katanya, pihaknya sudahpun membuat siasatan bersama penduduk setempat baru-baru ini.

“Setelah melihat kawasan berkenaan sememangnya ia tidak melibatkan kawasan hutan simpan, bagaimanapun sebelum itu jabatan tidak menerima sebarang aduan, hanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menerimanya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini Persatuan Penduduk Bukit Bayu, Seksyen U10 menggesa pihak bertanggungjawab menyekat sebuah syarikat pemaju yang didakwa menjalankan kerja-kerja penerokaan tanah yang dikhuatiri mengganggu Hutan Simpan Bukit Cerakah, di sini.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I. S. Shanmugaraj berkata, pihaknya mendapati kawasan hutan tanah pamah yang diteroka itu bersambung dengan kawasan hutan simpan kekal Taman Botani Negara yang mana ia perlu dilindungi daripada sebarang aktiviti pembangunan.

“Kawasan hutan simpan kaya dengan sumber alam termasuk tumbuh-tumbuhan serta pelbagai spesis fauna termasuklah tapir yang antara haiwan liar berhadapan dengan ancaman kepupusan ketika ini.

“Sudah sampai masanya Kerajaan Negeri segera mewartakan hutan tanah pamah berhampiran sebagai hutan simpan kekal untuk generasi akan datang dan bebas daripada sebarang aktiviti penerokaan,” katanya.


Pengarang :