OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 4 JUN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri buat penjawat awam Selangor tahun ini pasti lebih bermakna apabila Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2018 sebanyak satu bulan gaji.
Berita gembira yang dinantikan sejak permulaan Ramadan itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Dato’ Menteri Besar Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, hari ini.
“Tahun ini bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri untuk seluruh anggota penjawat awam sebanyak satu bulan gaji,” katanya.
Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh penjawat awam yang hadir sambil menggayakan baju Melayu dan baju kurung berserta songkok bagi menghidupkan suasana Syawal yang bakal tiba, Jumaat hadapan.
Bantuan itu akan diterima 17,109 penjawat awam Selangor, sementara 755 anggota penjawat awam beberapa agensi Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu pula bakal menerima sagu hati RM1,000 setiap seorang.
“Pembayaran gaji dibuat awal sebelum hari raya, iaitu pada 6 Jun mengikut surat pekeliling yang dikeluarkan memandangkan Aidilfitri jatuh, pada 15 Jun.