Smart Selangor Parking berkuat kuasa sepenuhnya April ini.
SELANGOR

Smart Selangor Parking sudah diuji, mudahkan pengguna

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 28 JUN: Sistem Smart Selangor Parking (SSP) sudah diuji dan terbukti memudahkan pengguna membuat pembayaran caj dan kompaun parkir.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pengguna menerusi projek perintis percubaan SSP yang dijalankan.

“SSDU dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah menjalankan projek perintis percubaan SSP pada 1 Mei hingga 30 Jun lalu di Dataran Sunway, PJU 5 Kota Damansara membabitkan 1,522 parkir ‘on-street’.

“Hasilnya amat memberangsangkan apabila ia berjaya mencatatkan 9,226 muat turut dengan kadar purata 151 muat turut sehari sepanjang tempoh projek perintis itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Smart Selangor Parking (SSP) Fasa 1 di Hotel Holiday Inn, Seksyen U1, Glenmarie, semalam.

Terdahulu, majlis pelancaran disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Fahmi berkata, sepanjang projek perintis itu dijalankan, sebanyak 9,973 transaksi dengan purata 164 transaksi sehari.

“Ramai pengguna berpuas hati kerana SSP ini memudahkan urusan mereka selain bertanyakan bila SSP akan dilaksanakan secara meluas,” katanya.

SSP adalah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi atas talian menerusi aplikasi telefon pintar yang juga merupakan saluran tambahan kepada penggunaan kupon parkir dan pembayaran kompaun parkir.

Untuk rekod, SSDU menerusi SSDU Inovations Sdn Bhd bakal melaksanakan sistem Smart Selangor Parking (SSP) Fasa 1 mulai 1 Julai ini.

Ia membabitkan parkir ‘ on-street’ di Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Selayang.

Fahmi berkata, kadar caj letak kenderaan dan kompaun yang dikenakan SSP adalah mengikut kadar sedia ada seperti ditetapkan PBT yang menyertai pelaksanaan SSP.

“Melalui SSP, pengguna boleh tambah nilai ke dalam satu akaun atas talian menerusi aplikasi telefon pintar untuk membayar caj dan kompaun letak kereta di parkir ‘on-street’ di PBT terlibat.

“Pengguna boleh menambah kredit SSP mereka menggunakan kaedah perbankan atas talian seperti Maybank2u, CIMB Cliks, Ambank Online dan e-wallet ‘Boost’,” katanya.

Dalam pada itu, Sze Han turut yakin SSP bakal beroperasi sepenuhnya di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri, hujung tahun ini.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada kesediaan lima PBT dalam melaksanakan SSP Fasa 1 selain kemampuan sistem itu memudahkan pengguna membuat bayaran kerana ia menyatukan kaedah pembayaran menerusi satu aplikasi dalam talian di semua PBT di Selangor.


Pengarang :