PBTSELANGOR

Tiga restoran ditutup MBPJ dibuka kembali

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 12 JUN: Tiga restoran yang diperintah tutup oleh Jabatan Keihatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kembali dibuka selepas arahannya ditarik balik.

Dua restoran daun pisang, Restoran Raju dan Restoran Sri Paandi kembali dibuka selepas dua hari ditutup sementara Restoran Gasing masih lagi dalam kerja pengubahsuaian.

Ahli Majlis MBPJ, Sean Onn berkata, arahan penutupan ditarik balik berikutan pemilik premis telah menjalankan kerja pembersihan seperti yang diarahkan pihaknya dalam tempoh dua minggu.

“Pihak kami berpuas hati setelah melihat kerja pembersihan dilakukan dan berharap supaya pemilik mengekalkan kebersihan demi pelanggan yang berkunjung ke kedai mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini SelangorKini pada 8 Jun lalu melaporkan, MBPJ mengeluarkan notis penutupan terhadap tiga premis makanan akibat gagal dalam operasi pemeriksaan kesihatan.

Dalam operasi itu, penguatkuasa mendapati kesemua restoran berkenaan kotor, malah terdapat najis tikus dan lipas turut ditemui di dalam peti sejuk.

Antara kesalahan lain ialah pemilik premis tidak memasang perangkap minyak sehingga menyebabkan ianya tercemar ke longkang awam.

Sejak 2017 hingga Mac 2018, sebanyak 2,096 pemeriksaan premis makanan diperiksa.


Pengarang :