NASIONAL

5 lagi ahli Parlimen Selangor ke Putrajaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JULAI: Lima lagi Ahli Parlimen Selangor dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, berkuat kuasa hari ini.

Mengetuai senarai, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar dilantik sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli sementara Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sebagai Menteri Wilayah.

Bagi jawatan timbalan menteri, Dr Ong Kian Ming yang juga Ahli Parlimen Bangi dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Manakala Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pula dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sebelum ini, beberapa ahli parlimen dari Selangor turut dilantik dalam kabinet baru Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), termasuk Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang kini bergelar Menteri Komunikasi.


Pengarang :