SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Isteri MB mahu pelajar RPA mantapkan diri hadapi cabaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUL: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad mahu pelajar di Rumah Perlindungan Puteri Arafiah (RPA) terus memantapkan diri dengan pengisian rohani yang cukup supaya mereka tidak tersasar mengulangi kesilapan selepas tamat pengajian di rumah berkenaan.

Beliau berkata, pelajar juga perlu menggunakan peluang yang disediakan untuk melakukan ‘penghijrahan’ diri dan memulakan diari hidup baru selepas 24 bulan berada di RPA.

“Sejak ditubuhkan, saya melihat penambahbaikan secara berterusan dijalankan di rumah ini. Kini, RPA semakin baik.

“Malah, anak-anak di sini gembira dan positif menerima perubahan baru di sini selepas mengikuti pelbagai motivasi yang disediakan.

“Oleh itu, mereka perlu memantapkan kemahiran berfikir, menterjemah, menilai dan membuat keputusan supaya apabila keluar nanti mereka tidak mengulangi kesilapan lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di RPA, Seksyen 7, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (Pekawanis), Shamshida Taharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Pada masa sama, Masdiana berharap RPA sentiasa melahirkan pelajar yang berkualiti dan berpendidikan bagi menjamin masa depan mereka.

“Saya sentiasa mahukan RPA menjaga kualiti berbanding kuantiti. Sudah tentu jika mahu memperluaskan operasinya, RPA perlu mempunyai kakitangan bertauliah.

“Ini bagi membolehkan kakitangan berupaya untuk mendepani isu berbangkit atau isu-isu baru bagi pelajar-pelajar ini,” katanya.

 


Pengarang :