Lembaga Tabung Haji kaji keperluan penstrukturan bayaran haji bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah.
NASIONAL

Jemaah haji diingatkan tidak bawa wang banyak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JULAI: Jemaah haji Malaysia diingatkan tidak membawa wang terlalu banyak ketika berlepas ke Tanah Suci dari Kuala Lumpur.

Pengarah Operasi (Kewangan) Tabung Haji (TH) Nor Aida Ahmad berkata, jemaah hanya perlu membawa wang mencukupi bagi kegunaan mereka, bergantung kepada keperluan masing-masing.

“Selepas itu, jemaah boleh membuat pengeluaran wang daripada akaun TH masing-masing di kaunter kewangan yang disediakan, di zon penginapan dan maktab,” katanya dalam kenyataan.

Nor Aida berkata, sebanyak sembilan kaunter pengeluaran wang disediakan, di Madinah iaitu 4 di Zon 1 (Hotel Al Haram), 3 di Zon 2 (Hotel Movenpick) dan 2 di Zon 3 (Hotel Rowadha Al Aqiq).

Katanya, TH memberi jaminan khidmat kaunter disediakan adalah cepat, iaitu kira-kira seminit untuk setiap transaksi.

“Selain pengeluaran dan menyimpan wang, kaunter itu juga menyediakan khidmat membayar dam serta korban.

“Pada tahun ini, bayaran dam ditetapkan ialah 430 riyal, manakala untuk korban kibas 475 riyal dan lembu 4,150 riyal,” katanya.


Pengarang :