SUKANKINI

Perak sedia jayakan SUKMA 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 JULAI: Perak bersiap sedia menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 tahun ini, bermula 12 hingga 22 September ini.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, sebagai tuan rumah, Perak memulakan perancangan seawal Disember 2016 dengan mewujudkan Sekretariat SUKMA 2018 selepas berakhir SUKMA ke-18 di Kuching, Sarawak.

“Kita melakukan persediaan agak rapi dengan pelaburan besar bagi menjayakan SUKMA kali ini, termasuk pembinaan Pusat Akuatik di Ipoh dengan kos kira-kira RM46 juta yang dianggap antara terbaik di Asia Tenggara serta Lapang Sasar di Chemor bertaraf antarabangsa.

“Perak bersedia menyambut semua kontinjen negeri, termasuk Brunei yang bertanding serta pihak berkaitan juga pelancong dari dalam mahupun luar,” katanya pada majlis kunjung hormat Kerajaan Perak ke Selangor sebagai jemputan rasmi ke temasya SUKMA 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, persiapan rapi itu dilakukan kerana SUKMA salah satu temasya sukan penting dan menjadi medan mencungkil serta mengasah bakat atlet muda negara untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan juga antarabangsa.

Katanya, Kerajaan Perak berharap dapat menganjurkan temasya dwi-tahunan itu dengan jaya dan mendapat sambutan hebat semua kontinjen yang mengambil bahagian.

“Dengan Selangor membuat persiapan rapi bagi mengekalkan kejuaraan, Perak juga sama dan kita harap ia mewujudkan saingan sihat dengan semangat kesukanan tinggi semua atlet juga kontinjen dalam SUKMA 2018 ini,” katanya.

Selangor menjuarai SUKMA 2016 di Sarawak dengan pungutan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian (Pengurusan Sumber Manusia) Kerajaan Selangor, Zamani Ahmad Mansor; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Zubir Idrus, Pengarah MSN Perak, Dr Benderi Bin Dasril dan Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2018, Musa Dun.


Pengarang :