SELANGOR

MB serah sumbangan kepada keluarga ADN Sungai Kandis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada keluarga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei.

Sumbangan itu disampaikan selepas solat Maghrib, pada Majlis Tahlil Shuhaimi yang diadakan di Masjid Alam Impian, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin turut mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa mengamalkan bacaan Yasin pada malam Jumaat.

“Digalakkan membaca Surah Yasin supaya ia sampai kepada Allahyarham Shuhaimi dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Pada masa sama, ini juga sebagai peringatan kepada kita semua dan semoga kita dapat meneruskan perjuangan Allahyarham selama ini,” katanya.

Difahamkan majlis itu turut dihadiri hampir 500 orang yang terdiri daripada rakan-rakan seperjuangan Shuhaimi dan ahli masjid berkenaan.

Terdahulu, Shuhaimi, 50, meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat penyakit kanser limfoma.

Jenazah Allahyarham diuruskan di masjid sama dan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini selepas solat Asar.

Beliau sebelum ini adalah ADN Seri Muda selama dua penggal selepas memenangi PRU12 dan 13 serta meneruskan kecemerlangan di DUN Sungai Kandis pada PRU14.


Pengarang :